Kidu tawar program Pra-STAM
ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) mempelawa pelajar lepasan SPM yang menunggu untuk mendaftar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2014, agar memanfaatkan masa terluang dengan mendaftar sebagai pelajar Pra-STAM.
Pendaftar Kidu, Abdul Ghani Abdullah berkata, program ini bukan sekadar mengisi masa lapang, malah memberi pendedahan berguna untuk diterapkan apabila menduduki peperiksaan STAM kelak.
“Program Pra-STAM ini mula diperkenalkan di Kidu pada tahun 2011. Ia untuk memberi penekanan awal berkenaan mata pelajaran yang bakal ditempuhi pelajar STAM pada tahun berikutnya. Ia diadakan selama enam bulan bermula 1 Julai setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, mana-mana pelajar lepasan SPM termasuk aliran biasa yang ingin menduduki peperiksaan STAM boleh menjadikan kursus ini sebagai persediaan awal sebelum berdepan peperiksaan.
“Program ini akan memberi pendedahan berkaitan Bahasa Arab dan Al-Quran agar mereka yang menyertai program ini akan mempunyai persediaan yang bersesuaian, selain lebih yakin untuk menduduki peperiksaan STAM pada tahun berikutnya,” katanya.
Abdul Ghani berkata, selain pendedahan awal Bahasa Arab dan hafalan surah-surah tertentu dalam silibus STAM, pelajar turut didedahkan dengan subjek teras dalam peperiksaan STAM seperti Fekah, Tauhid, Hadis, Tafsir dan sebagainya.
“Pelajar akan diberi pendedahan secara permulaan atau muqaddimah setiap subjek agar tidak dibebani pembelajaran pada awal program STAM kelak. Secara teorinya, pelajar yang mendaftar program Pra-STAM akan lebih memahami subjek STAM kerana persediaan yang diberikan selama enam bulan itu mampu memberi input positif kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, yuran yang dikenakan juga berpatutan, berikutan dibimbing guru berpengalaman untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan STAM padat ahun berikutnya.
Comments
Post a Comment