Kolej Islam Darul Ulum yang menganggotai Ikatan Kolej Berkembar Antarabangsa (IKBA) telah mengikuti rombongan ke Negara jiran, Thailand pada 19 dan 20 Mei yang lalu. Program ini merupakan program susulan selepas Persidangan Meja Bulat Pegawai Tinggi IKBA dan Mesyuarat Agung IKBA yang diadakan di Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Program lawatan ini dianjurkan oleh tuan rumah Mesyuarat Agung IKBA. Pihak KIDU diwakili oleh Ustaz Abdul Ghani Bin Abdullah selaku Pendaftar, Saudara Mohd Hanifi Bin Haji Ahmad Jamaludin, Penolong Pendaftar dan Ustaz Mohd Firdaus Bin Hat, Penolong Pensyarah.
Ahli rombongan berkumpul di KUIN pada jam 8.30 pagi dan kemudian berangkat menuju ke Bukit Kayu Hitam menaiki bas. Selepas memasuki Thailand, ahli rombongan telah dibawa melawat Pusat Islam Songkhla. Setibanya di sana, ahli rombongan telah disambut oleh Ustaz Haji Hashim selaku Timbalan Yang Di-Pertua Pusat Islam Songkhla. Selain itu, beberapa pimpinan Pejabat Sheikhul Islam juga menyambut ahli rombongan. Antaranya Ustaz Abdul Latif, Ustaz Abdul Rashid, Tuan Haji Hanafi dan Tuan Haji Abdul Rahman. Pihak rombongan telah diberikan penerangan berkaitan tugas dan tanggungjawan Pejabat Sheikhul Islam antaranya sebagai pusat pengeluaran surat pengesahan Islam, Penterjemahan sijil-sijil dan sebagainy. Pihak Sheikul Islam juga menjadi penasihat kepada Kerajaan Thailand berhubungan apa jua perkara yang melibatkan agama Islam.
Selepas itu, ahli rombongan dibawa melawat Madrasah Nahdhah Diniah di Hat Yai. Sekolah yang menempatkan 1800 Orang pelajar bermula dari peringkat Tadika hingga ke peringkat menengah atas. Apa yang menarik di sekolah ini, bukan hanya pelajar yang harus menduduki peperiksaan, malah guru-guru juga akan menduduki peperiksaan. Mana-mana guru yang memperolehi nilai 50 peratus ke bawah, akan diberhentikan. Guru-guru yang mendapat 51-60, akan diberi amaran. Manakala 61 ke atas, akan dinaikkan elaun dan gaji. Secara tidak langsung, ini akan memberi semangat kepada guru-guru untuk meningkatkan prestasi mengajar sehingga mampu melahirkan pelajar yang terbaik.
Ahli rombongan dibawa ke hotel dan seterusnya acara bebas sehingga pulang pada keesokan harinya. Pihak KIDU mengharapkan lawatan kali ini dapat mengeratkan hubungan di kalangan anggota IKBA dan juga masyarakat Islam di Selatan Thailand.
Comments
Post a Comment