Pihak Kolej Islam Darul Ulum telah menerima kunjungan pelajar dari Darul Quran, Jakim ke sini pada khamis 13 Oktober yang lalu. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Siswa Utara atau singkatannya PAKSU disertai seramai 88 orang pelajar terdiri dari 44 orang lelaki dan 44 orang perempuan. Rombongan dan lawatan ini dalam rangka menziarahi institusi pengajian yang ada di negeri Kedah samada institusi pengajian tinggi atau rendah. Rombongan ini disambut oleh Saudara Mohd Hanifi Bin Haji Ahmad Jamaludin selaku Penolong Pendaftar Kolej Islam Darul Ulum dan Ustaz Abdul Manan Bin Abdul Aziz.
Ustaz Abdul Ghani Bin Abdullah selaku Pemangku Pendaftar mengucapkan selamat datang kepada ahli rombongan yang berkunjung ke Kolej Islam Darul Ulum. “KIDU telah ditubuhkan hasil dari perjuangan dari pengorbanan masyarakat yang ingin melihat satu institusi pendidikan Islam di Kedah dibina. Malah KIDU dibayai sepenuhnya oleh masyarakat Islam seluruh Malaysia dengan harapan agar para pelajar yang lahir dari sini mampu membawa dan melaksanakan Islam di seluruh tempat”, ujar Ustaz Abdul Ghani dalam ucapannya.
Tausiat dan tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Bin Abdullah, Pengarah Akademik Kolej Islam Darul Ulum kepada ahli rombongan. Beliau menceritakan bagaimana perjuangan para ulama’ terdahulu dalam menuntut dan mencari ilmu untuk disebarkan kepada masyarakat. “Susah payah ulama terdahulu, malah ada yang sanggup merentasi padang pasir selama beberapa hari semata-mata untuk memperolehi ilmu akhirat, untuk melihat masyarakat membangun dengan jiwa Islam”, jelas Ustaz Ahmad Abdullah kepada para rombongan. Beliau juga menasihati agar memanfaatkan ilmu untuk pembangunan masyarakat.
Ketua Rombongan, Saudara Asyraf dalam ucapan balasnya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KIDU yang menerima kunjungan dari DQ Jakim. Beliau berharap ini bukanlah kunjungan pertama dan yang terakhir malah akan ada program susulan ke KIDU.
Di akhir majlis, pihak Kolej Islam Darul Ulum telah menyampaikan cenderhati kenang-kenangan kepada Ketua Rombongan, Saudara Asyraf dan pihak KIDU telah menerima cenderahti dari ahli rombongan. Semoga kunjungan ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama muslim


Comments
Post a Comment