Sempena penganjuran Sambutan Maulidurrasul 1433 H yang lalu, pihak Kolej Islam Darul Ulum telah menganjurkan minum petang (Hi-Tea) bersama YB Tuan Haji Khalid Samad sebagai platform untuk mengumpul Dana Pendidikan dan Kebajikan Pelajar Kolej Islam Darul Ulum.
Dalam ucapan alu-aluan, al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Abdullah selaku Pendaftaran Kolej Islam Darul Ulum telah menyebut tentang sejarah penubuhan Kolej Islam Darul Ulum. Dimulai dengan hasrat yang dikemukakan oleh al-Marhum Dato’ Fadzil Noor yang ingin melihat anak bangsa terpelajar dengan pengajian Islam. Sekalipun pelbagai rintangan yang harus dilalui, KIDU telah beroperasi selama 15 tahun semenjak penubuhannya. Dengan bilangan pelajar yang tidak menentu, terkadang ada dan terkadang kurang, namun ianya bukanlah sebagai pemutus semangat untuk terus bergerak. KIDU melihat inisiatif menganjurkan kelas STAM sebagai daya tarikan yang baru untuk perkembangan pengajian berteraskan Syariah. Dengan guru-guru yang berpengalaman dalam bidang STAM, KIDU terus mengorak langkah kea rah kecemerlangan apabila bilangan pelajar yang memperolehi pangkat Mumtaz semakin bertambah saban tahun. Dana ini dikumpul sebagai kesinambungan memastikan pendidikan dan kebajikan para pelajar KIDU terjamin. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu KIDU dalam pelbagai aspek lapangan dan mengharapkan ada orang perseorangan mahupun syarikat-syarikat tampil membantu para pelajar yang kurang berkemampuan.
YB Tuan Haji Khalid Samad yang menyampaikan ucaptama dalam majlis ini menceritakan sejarah beliau yang pernah terlibat dalam pembangunan KIDU. Malah ada catatan sejarah gambar yang menunjukkan beliau pernah hadir ke sini pada awal-awal penubuhan Muassasah Darul Ulum. Dalam ucapannya juga, beliau ,menemplak golongan yang kononnya memperjuangkan akidah namun tidak memandang kepada institusi pendidikan yang mampu memberikan pendidikan agar isu dan gejala murtad ini tidak berlaku lagi. Bagi beliau, masalah murtad berlaku apabila pendidikan agama Islam tidak dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab.
Di akhir majlis, KIDU menyampaikan gambar yang diambil pada tahun 1985 yang menampilkan gambar YB Tuan Haji Khalid yang masih cergas dan muda di awal penubuhan Muassasah Darul Ulum..
Comments
Post a Comment