Skip to main content

IFTOR JAMAI’I KAKITANGAN DAN PELAJAR KOLEJ ISLAM DARUL ULUM






Berbaki seminggu bulan yang mulia, Ramadhan al-Kareem akan melabuhkan tirainya bagi tahun ini, Kolej Islam Darul Ulum telah menganjurkan program berbuka bersama pada 22 Ogos yang lalu. Program ini melibatkan semua jemputan kakitangan pentadbiran dan akademik KIDU serta para pelajar di semua peringkat.
Program yang berlangsung di Terap Inn, Kuala Nerang dalam suasana yang ceria dan meriah. Dimulakan dengan ucapan Ustaz Abdul Ghani Abdullah selaku Pemangku Pendaftar Kolej Islam Darul Ulum. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan dan pelajar yang hadir pada majlis ini. Majlis ini juga merupakan majlis menghargai pensyarah dan pelajar yang telah bertungkus lumus menjayakan program Pesta dan Majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum pada 28 hingga 30 Julai yang lalu. Program tersebut yang berlangsung meriah menunjukkan kesepakatan yang terjalin kukuh di Kolej Islam Darul Ulum selain kerjasama yang cukup baik dari semua pihak.
Majlis diteruskan dengan tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Hazwan Shah Niezam, pensyarah Kolej Islam Darul Ulum. Beliau menyentuh kepentingan mencari malam lailatul qadr memandangkan sudah berada di akhir-akhir ramadhan. Beliau juga menjelaskan cirri-ciri atau tanda-tanda kehadiran malam lailatul qadr seperti yang disebut oleh ulama’-ulama’ terdahulu.
Di akhir majlis sebelum berbuka, diadakan majlis tahlil yang diketuai oleh Ustaz Mohammad Bin Haji Ramli. Jamuan yang disediakan cukup menyelerakan para hadirin. Turut memeriahkan acara ini adalah Jawatankuasa Induk Pesta dan Majlis Konvokesyen dari kepimpinan PAS Kawasan Pokok Sena dan Padang Terap. Semoga ukhuwah yang terjalin terus berkekalan.

Comments